Assalamualaikum, Salam sejahtera.

30/12/2017.

Di saat-saat akhir tahun 2017, mengambil sedikit lagi masa berbaki untuk menukilkan tulisan perjalanan sepanjang tahun 2017. Supaya kekal menjadi ingatan, boleh disungkap di masa depan. barangkali jadi tatapan anak-anak atau sesiapa yang membaca. Kisah perjalanan hidup.

Tahun 2017. 

Tahun berdikari sendiri secara total. Genap setahun aku berdiri sendiri tanpa orang yang paling disayangi. Payah. Memang payah, tapi tanpa kau sedar, kau sudah pun melaluinya. Pejam celik, kau lupa tatkala kesibukan melanda, kau sudah mampu membuat keputusan sendiri, mengatur kehidupan sendiri. 

Viral, berita berkaitan Iqram Dinzly sepanjang minggu ini. Komen aku. Aku pernah berada di tempat dia. Aku hilang setahun. Sepanjang masa berperang dengan identiti sendiri aku benci orang sekeliling aku tanpa sebab. Aku halau, aku buang kerana berperang dengan emosi, mainan diri yang datang dari entah mana. Bisikan yang sering menjengah tanpa diundang. Lama-kelamaan hampir bertahun, sedikit demi sedikit aku mula menerima takdir dan membuka hati membenarkan kerja Ilahi. Kerana kita hamba.

kadang-kadang aku ketawa sendiri. Pelik. Semakin meningkat usia semakin besar cabaran dia. Hidup perlu diteruskan. Aku senyap. tarik nafas dan berikan semangat positif masuk dalam diri. Its going to be fine. I am going to be happy. 

Tahun 2017.

Aku semakin mengenal diri. Melalui 'The Secret' diperkenalkan oleh my boss. Entah dari mana, ada satu aura positif yang membuatkan kau akan menukar they way how you think and look into matter. Semakin aku belajar semakin aku 'throwback' kisah silam. Berkaitan Law of Attraction yang menghubungkan cara pemikiran dan kehidupan seharian. Aku praktikkan sedikit demi sedikit. Aku 'increase acceptance' untuk mengubati sikap yang mudah merengsa dek kerana 'perfectionist' dan 'judgemental' yang sudah lama bertahun terbina. Optimist vs Realistic?

Aku mudah kecewa dengan sikap manusia, lama kelamaan kau akan perasan, perasaan ini akan membunuh. Persoalan terjawab kenapa aku terlalu selective dalam memilih kawan sejak zaman sekolah. Ilmu baru. Tahun 2018, ilmu lain akan aku korek. Tips untuk membaca dan mempraktikkan, bawa bersama akidah dan kaitakan dengan ajaran islam. Noktah. 

Tahun 2017.


Berbicara soal karier, penuh cerita di dada. Semakin rumit berbanding zaman belajar. Semakin rumit semakin sulit, semakin menarik dan mencabar. Dunia karier juga di mana aku belajar mengenal manusia dalam masa mengenal diri sendiri. Apa yang boleh diperbaiki, apa kelemahan. Untuk tahun permulaan ini, belajar dan teruskan belajar. Always put yourself in the  modest level. Aku mengorak langkah dalam bidang safety dengan serius. Aku tanamkan keseriusan dan terjemahkan dalam bentuk perbuatan. Kadang-kadang kecewa itu terlalu hebat. Haha. Tapi di situ, aku semakin mengenal diri, memerhatikan cara akal berfikir dan menentukan tindakan. Kadang-kala childish! Bangkit dan belajar. 

Tahun 2017.

Boleh dikatakan apabila kau semakin mengenal diri, kau semakin matang dalam menguruskan kehidupan. Lantas terciptalah azam tempoh masa 3 tahun baik dalam karier, perkahwinan, kewangan dan asset. Buat pertama kalinya. Tak pernah-pernah aku serius berbicara soal hidup. Di zaman kolej dan universiti, kau mendengar perkara sama berulang kali. Kau bingung. Bila masa nak guna? Tiba saat kau perlu berdiri sendiri. Kau akan mula faham. Terus kau terjemahkan dalam bentuk perancangan. Again, gabungkan Law of Attaraction.  

Tahun 2017.

Berjalan melihat bumi tuhan, mengkoreksi diri dalam menambahkan pengalaman dan iman. Kita dijadikan berpuak-puak untuk saling mengenali. Bermula dengan Osaka Japan-Perth Australia-Acheh Indonesia. Tiga negara aku lawati. Ya, mengembara adalah hobi dan minatku. Next destination? Nantikan. 

2018.

Tiada azam spesifik, cuma aku ingin meneruskan hidup dengan lebih baik. Ingin terus belajar. Mengenal diri dan memberi manfaat pada makhluk lain. Allah, aku butuh kekuatan! 



Terus berjalan. 
31/12/2017
12.08 am

Maluri, Cheras. 

P/s: Selamat tinggal 2017. Terima kasih untuk mereka yang masih tetap setia bersama di saat susah dan senang. Anda tahu siapa anda. 

"Pakcik nak seringgit"

Itu ayat yang keluar daripada mulut seorang BUDAK lelaki berumur lingkungan 8-9 tahun sewaktu sedang berjalan menusuri pasar malam Rawang. Ya, pasar malam. 

Bukan gelaran pakcik yang ingin 'dihighlightkan' tapi disebalik permintaan seringgit ini, terbit satu keinsafan dan sentapan sehingga harini ini kekal segar. 

Aku memandang ke arah budak ini dengan jelingan. Ya jelingan. Kerana bagi aku, tindakannya seolah-olah tiada adab dan kelakuannya dalam pertimbangan pertama aku dia adalah budak jahat. Aku 'judge" dia!

Aku terus berlalu pergi. Rasa angkuh sekejap, 

Beberapa tapak kehadapan. Aku berhenti. Diam dan terfikir sejenak. 

"Kau miskin ke Fitree? Kau miskin ke bagi dia SERINGGIT ? " 

Bisikian aku ke dalam hati.

Sedangkan aku baru beberapa hari dalam minggu gaji. Pendapatan aku boleh dikatakan terlebih cukup untuk seorang diri. Dengan taraf hidup di Rawang yang boleh dikatakan tidak terlalu menekan. 

Aku toleh kebelakang, rupanya budak ini masih mengekori ku, matanya tajam melihat gerai-gerai sekeliling. Aku keluarkan wallet. Aku hulurkan sekeping 'note'. Aku hulur ke dia. Senyuman terukir panjang. Terus dia berlari kebelakang.

Aku sambung berjalan sambil aku membentak jiwa yang bakhil. Aku merasakan kesal. Bersalah dengan Allah.

"Seringgit Fitree. Kalau dia jahat dia mintak RM50!"

'Malaikat kecil' yang dihantar tuhan ini, aku kira sebagai teguran tidak langsung dari Allah.

Boleh jadi tanpa sedar kita semakin berkira di saat rezeki semakin lapang.

Selesai sahaja membeli, aku berjalan pulang ke motor. Tetapi, mata terus menangkap kelibat budak tadi.

Yong Taufu.

Ya itu makanan yang dia beli. Di kiri dan kanan budak itu ada dua orang budak perempuan kecil. Aku kira adik-adiknya. Niat di hati aku ingin tambah lagi. Tapi aku terlalu MALU dengan BUDAK ini.

Barangkali dia punya hati lagi besar daripada aku.

Aku berjalan laju terus ke motor untuk mengelak daripada bertemu.

Berbelas tahun yang lepas, aku adalah budak. Kerna bukan berasal daripada keluarga kaya aku pernah terdetik " Bestnya kalau ada duit banyak kalau pergi PASAR MALAM "

Itu dialog aku berbelas tahun yang lepas. Kira tempat 'shopping' sekarang bukanlah pasar malam. Mall menjadi pilihan.

Tetapi mengapa. Bakhil menjadi taruhan.

Mata bergenang, aku kira kerana rindu masa kecil dan menangisi peristiwa kecil ini.

Terima kasih Allah atas teguranMu.

Untuk menerima, memberilah! 




Hai Assalamualaikum!

Jangan ada yang jadikan isu pulak, Hai dulu Assalamualaikum kemudian. Banyak lagi isu besar nak digaduhkan berbanding isu Hai dan Salam ni.

~ back to main topic ~

Lebih kurang beberapa bulan lepas. Tapi laa ni baru menyempat untuk menulis. Ada majlis pertunangan saudara di sebelah keluarga belah arwah mak. Dalam kesibukan dan ramai tetamu yang hadir, tiba-tiba mata terus tertangkap kepada satu kelibat yang sudah agak berumur dimamah usia.

" Mummy"

Ya, saudara yang lain menggelarkannya mummy.

"Kenapa panggil dia mummy?"

Soalan pertama yang keluar.

" Oh, biasa orang Kelantan gelarkan diri dia mummy. Dan mummy ni memang asal kelantan. Dia adik beradik arwah tok mariam" (Tok mariam adalah nenek saya)

"Maksudnya tok mariam pun orang Kelantan? So kita ni pun ada darah Kelantan la?'

Terus tergelak besar sepupu yang saya gelarkan bang chek.

"Laa, Fitree tak tahu ke? Arwah Sharifah Mariam memang asal daripada Kelantan. lepas dia kahwin dengan Syed Mohamad dia terus pindah Johor"

Selama ini hanya tahu arwah mak adalah keturunan Johor. Tak pernah terlintas Kelantan. Haha

"Sebab tu, kalau tengok bola ke apa, kalau ada Kelantan, tak boleh cakap lebih-lebih sebab darah Kelantan ada dalam kita."

Sambung gelak.

Selepas 24 tahun baru diketahui asal usul keturunan Sharifah Mariam. a.k.a tok mariam. Tapi di sebelah Kelantan dah tiada family. Mungkin ada cuma saki baki. Ramai dah berhijrah ke Kuala Lumpur.

Moral of the story. Bertanya jika tak tahu.

Jangan cakap lebih-lebih. bersederhana lah!


Salam aidiladha buat tatapan pembaca.

Saat tulisan ini ditulis jasad berada di bumi bersejarah Melaka. Kenapa Melaka? Ahaa. Saja pilih Melaka untuk mengelakkan kesesakan daripada Kuala Lumpur.

Raya aidiladha tahun ni lain sedikit daripada tahun-tahun lepas. Sekaligus menyambut hari kemerdekaan negara dan kemenangan negara dalam sukan sea.

"Cuti panjang ni kita pergi bercutilah"

Ungkap aku kepada abang.

Lagi pun sejak ayah pergi menghadap Ilahi beberapa hari sebelum Aidiladha tahun lepas, feel untuk menyambut raya haji sedikit berkurangan.

Memang ya, baju raya, ziarah menziarahi waktu raya ini hanya simbolik dan apa yang kita selaku hamba sepatut-patutnya buat adalah untuk menikmati dan menzahirkan Raya aidiladha ini seiring dengan pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menyahut seruan Allah.

Itu yang paling utama.

" Fitree, kau ni patut pergi tengok orang berkorban kat surau-surau masjid, bagi nikmat rasa korban tu macam mana". Kata kawan sepejabat.

" Betul tu, aku tak nafikan tapi aku rasa dah 2 tahun berturut-turut raya haji aku ni ditemani persitiwa hitam"

Peristiwa pahit bermula tahun sebelumnya, jadi pahit sangat disebabkan kedengkian seorang manusia yang cuba memecahbelahkan hubungan kami anak beranak ni. Aidiladha tahun tu paling terakhir kami sambut dengan arwah ayah.

Aidiladha tahun lepas?

Saat pemergian arwah ayah.

Ada sebab mengapa semua terjadi pada saat dan masa tertentu. Boleh jadi Allah sedang menguji maksud pengorbanan dalam konteks tersendiri.

Tahun lepas kami hilang ayah, hilang harta hilang punca. Boleh aku katakan itu juga adalah pengorbanan?

Korban perasaan, korban nafsu amarah, korban ego untuk terima takdir?

Sakit sangat bila ingat semula.

Pengorbanan itu hadir sama ada kita bersedia atau tidak. Bersedialah untuk berkorban. Hadirkanlah keikhlasan. Kerana sebenar-benar korban adalah dengan keikhlasan yang akan membuahkan takwa.

Selamat hari raya korban ayah, keluarga, sahabat dan semua pembaca.

Fitree
1/9/2017
Bandar Hilir Melaka.

Salam 10 ramadhan terakhir.

Barangkali yang sedang membaca sedang utuh dalam mengerjakan ibadah dalam bulan puasa yang penuh barakah ini.

' Dah macam bagi tazkirah.' xD

Alhamdulillah. Hadiah Ramadhan terpilih sebagai tajuk untuk posting kali ni. Kenapa aku pilih dia sebagai hadiah? Sebab aku sudah lama menanti hadiah ini. Hampir 1 tahun.

Detik demi detik, hari demi hari. Dan Boom!

Di bulan yang penuh mulia ini, dia datang sebagai hadiah. Yakni..

REDHA.

Mudahkan? Satu perkataan. Ungkapan sesaat. Tapi saat engkau memerlukan sebenar-benar redha, Engkau akan benar-benar diuji oleh Allah. Kerna Allah ingin mengujimu, sejauh mana engkau benar-benar redha terhadap ketentuan Dia untuk dunia sementara.

Dalam meniti kehidupan yang telah lalu, dan akan datang, terutamanya peristiwa kehilangan insan tersayang, aku benar-benar redha dan menyerahkan segalanya pada tuhan. Dikala perasaan dan saat itu tiba, satu perkara atau perubahan yang kau akan rasai adalah ..

TENANG.

Aku selalu mengungkit, mempersoalkan takdir, menyalahkan manusia tatkala aku tidak boleh menerima hakikat. Hasilnya? Jiwa sendiri merana. Tapi sekarang, aku memilih untuk tenang, bangkit dan buang perasaan lembik hanyut dalam perasaan.

I once promised to myself, I'm alive to contribute something to needy. To community. I want to motivate and help youngsters, teenagers, whom experience the same or almost the same with what I've gone through for the past 20 years of my life.

Aku harus mulakan dulu. Aku harus kuat untuk menguatkan orang lain. Doa rakan-rakan, teman dan saudara-saudara semua. Aku dahului dengan ucapan terima kasih. Mungkin berkat doa kalian aku temui jalan keluar. Aku berdoa, tuhan terus-terusan berikan rasa istiqomah ini sehingga akhir hayat.

Rindu itu fitrah. Perlu disulami doa dan bekalan untuk mereka di 'sana' bukan tenggelam dengan perasaan.

Hadiah bulan Ramadhan kali ini bagi aku sungguh bermakna.

Ujian tuhan lain-lain. Pemberian tuhan berbeza-beza. Aku pilih untuk bersyukur.

Bagaimana untuk kamu?

I'm back!


Mungkin ada yang merindui senyuman ini kan? Nah ikhlas dari tahun 2010! hehe.


Penulisan diteruskan. 

Banyak sampai tak keruan untuk bermula dimana. Ia nya hamper 9 bulan sudah berlalu peristiwa pahit dalam diri. Perlahan-lahan ku kayuh. Mencari identity. 

Ujian hebat. Sehinggakan setiap malam, berbulan-bulan mimpiku boleh ditafsir sebagai suatu ujian paling hebat. 

“Sakit mental”. 

Bukan bermaksud gila. Cuma sakit atas emosi sendiri.Bermimpikan orang yang kau sayang. Memori yang dibina berpuluh tahun, suka-duka. Kau hilang dia sekelip mata dalam keadaan hati terpaksa merelakan? Kau fikir mudah? Sehingga mental robek, Fizikal lemau? Tapi inilah ujian.

Berbulan-bulan. Ada individu hamper bertahun-tahun. Kali ini, aku sudah boleh menerima.
Perjalanan ini semakin difahami. Takdir tuhan sudah mampu aku telan. 

Aku bercuti. Ya. Aku bilang pada keluarga. 

“Hati ini sudah lama lara. Rasa nak bercuti sekejap.”

Dijawab. “Why not? Pergilah”

Satu minggu di Osaka Jepun, satu minggu di Perth Australia. Selama aku bercuti, setiap keesokan hari terbangun dari tidur. Aku monolog sendiri.

“Aku mimpi lagi tak? Alhamdulillah dah tiada” 

Sekembali daripada Australia, di bumi Malaysia. 
Mimpi kembali menghantui. Lantas aku sedar mental ini sedang sakit.  Perlahan-lahan aku katakana pada diri, hati perlu sado, emosi perlu kuat. Move on itu pasti amat. 

Hari demi hari. Penambahbaikkan dirasai. 

Mengapa aku perlu terus tenggelam dalam kesedihan?

Gembira, sedih, itu fitrah. Tenggelam dalam emosi sehingga mental mu koyak itu PILIHAN!

Terus berjalan.

Hargai nikmat tuhan. 

Redha dan terus pasrah.Aku hamba mencari makna hidup.

-The End-



Assalamualaikum 2017.

Sudah hampir setengah tahun baru, kini aku baru muncul. Kerna aku sudah lama menghilang dalam mencari identity yang entah sudah lenyap ditelan memori. Dek kerana 2016 yang seakan-akan mengubah hiduku secara total.

2016.

Mana mungkin akan aku lupakan. Sehingga mati setiap detik yang berlaku dalam tahun ini akan aku ingat sampai bila-bila. Aku manusia dan aku hamba. Lama kelamaan aku runtuhkan ego ini. Mula memahami erti takdir dan perjalanan hidup yang tidak selamanya indah.

Entah mengapa, kecewa aku terlalu hebat. Hati bengkak, jiwa bernanah.

Ampunkan aku ya Allah diatas kealpaan aku. Di mana redha ku pergi. Sedangkan hari-hari aku mengatakan pada diri. Hidup perlu diteruskan, takdirmu aku terima sepenuh hati. Dan aku sedang mencuba.

Sombong sungguh aku. 

Banyak kelapangan dan kesenangan Allah limpahkan. Kesakitan dan kekecewaan juga yang aku hamparkan. 

Bangkitlah Fitree. Bangkit.

Aku senyum tatkala berjumpa manusia, aku ceria dikala status fb dimuatnaik. 

Aku memandu seorang diri, dalam meniti perjalanan ke lokasi, acap kali memori singgah. Tak lama kemudian air mata bergenang. Cukup di takuk? Melimpah la ia. Entah apa aku fikir. Barangkali selesa bersendirian mengenang nasib. Boleh jadi rindu. Boleh jadi duka. Bercampur baur.

Tapi itu bukan gambaran reality di dalam hati. Hari demi hari satu demi satu tanggungjawab berat tidak tergalas jatuh di bahu. Di mana aku yang dahulu? Mati barangkali. 

Kerana terlalu sayangkan manusiakah? Entah. 

Ujian paling hebat Allah turunkan buat aku, dikala aku tidur setiap malam aku akan bermimpi wajah kesayangan. Berbual, memori berpuluh tahun diputar waktu. Tiba subuh, hilang lesap. Seperti deraan mental aku rasa. Sehingga aku pernah berbicara, pergilah engkau mimpi. Jangan aku kau sakiti. 

Ya. Ini ujian. Di marhalah mana kau untuk mempersoalkan ujian tuhan?

Yang penting mereka berdua sudah selamat disana. 

Allah.

Harus aku Tanya bagaimana 2017 bakal mengorakkan langkahku? Terlalu banyak perkara, urusan tertangguh perlu diselesaikan. 
Banyak.




Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home