Pergilah Ayah.

Saat tulisan ini dilakarkan, takungan air mata ditahan daripada pecah dari empangannya. Tangan ini seakan-akan masih lagi mempersoalkan adakah ini reality atau hanya mimpi. Fikiran masih lagi memikirkan adakah ini sudah terjadi atau hanya skrip tv.

Monolog melontarkan jawapan, kita buka sesiapa untuk mempersoalkan. Terima dengan hati yang redha. Demi masa, semua akan tenang kembali. Saat yang sangat-sangat aku takut untuk hadapi akhirnya tiba.

Kadang-kadang aku rasa aku sudah bersedia, kadang-kadang tidak.

Pergilah ayah. Tenanglah di sana. Selepas hamper 11 tahun ayah menunggu saat berjumpa mama, akhirnya hajat ayah terlaksana. Ayah dikebumikan di sebelah pusara mama. Rezeki yang memang Allah tetapkan.  Ramai yang berkata, ayah dan mama bersanding di pusara.


Hari demi hari, hati ini semakin boleh menerima takdir. Semakin boleh menerima reality dan kebenaran. Ayah dan mama kedua-duanya telah pergi menghadap ilahi. Kadang-kadang rasa, usia aku terlalu muda untuk diletakkan dalam situasi ini. Mamanya pergi sewaktu kecil, ayahnya pergi selesai sahaja pengajian. Sebulan sahaja dalam alam pekerjaan. Sekali sahaja dapat belanja ayah makan.



***
Alhamdulillah. Sebulan Allah bagi masa untuk kami berdua ada dengan ayah. Hampir dua minggu penuh adik dengan ayah pagi petang siang malam dekat hospital. Memang Allah bagi peluang untuk ayah habiskan sisa hidup terakhir dengan anak-anak. Ayah hembuskan nafas terakhir dalam pelukan dan dakapan adik. Air mata tak henti-henti mengalir, seakan-akan drama tv, tapi semua realiti.

[4 Minggu Sebelum: 8/8-14/8]

Kami called ayah, berhari-hari ayah tak angkat. Kebiasaan memang ayah akan call semula dan sangat-sangat jarang ayah tak angkat. Hati semakin risau, akhirnya hari Selasa dapat jugak call ayah. Suara ayah tersangat sayu, lemah. Hati mana yang tak runtun dengar suara ayah macam tu. Keesokkan kami berdua balik, lepas asar kami sampai rumah. Tengok ayah di ruang tamu, terbaring badan panas sangat. Ayah tak ingat kami berdua. Sepanjang perjalanan ke hospital ayah senyum, seperti biasa ayat ayah, “GPS dah tak boleh guna”. Semua senyum, ketawa kecil. Sakit-sakit pun buat lawak lagi. Muka dan wajah itu kekal dalam ingatan.

Sampai ke hospital terus ke zon merah. Dr kata ayah mengalami jangkitan  kuman dan toksik yang banyak dalam darah kerana kegagalan buah pinggang secara tiba-tiba. Dr cadangkan ayah perlu bernafas melalui tiub, ayah ditidurkan. Semua akur. Malam tu bermulalah, kami berdua tidur di hospital. Surau sebagai lokasi persinggahan. Rindu suasana hospital.

Jam 2 pagi, ayah dipindahkan ke CCU tingkat 6.  Jam 3.30 pagi Dr panggil masuk. Dr terangkan kondisi ayah. Nyawa hanya 50-50. Dr minta kebenaran untuk jalankan dialysis sebab Dr kata darah ayah terlalu bertoksik. Jika dibiarkan jantung ayah akan terhenti kerana darah yang bertoksik. Jika dialysis diadakan, risiko untuk jantung terhenti ada kerana ayah menghidap penyakit jantung. Selama 23 tahun hidup, saat itu merupakan keputusan tersukar pernah dibuat. Ingat lagi, angin pagi yang sejuk menjadi saksi, air mata kami berdua mengalir-ngalir laju kerana kami tahu saat itu merupakan saat sama ada ayah selamat atau tidak. Berjalan laju keluar CCU, air mata yang ditahan akhirnya tumpah dalam keheningan pagi, suara hati yang disimpan-simpan akhirnya keluar. Aku bermonolog, ‘Allah, tolong sedarkan aku semua ini hanya mimpi’.

Keesokkan hari, Dr bertugas memaklumkan dialysis Berjaya. Sinar harapan semakin ada. Tapi ayah tak bangun lagi. Hari-hari kami ada untuk ayah. Pagi 6.30, tengahri 12.30-2.00, petang 4.30-7.00 kami ada temankan ayah. Kami tidur di hospital, berjaga-jaga sekiranya apa-apa terjadi. Tapi ayah tak bangun. Hari kelima adik balik ke Rawang dahulu. Sebelum balik, doa takhenti-henti supaya ayah bangun dan sedar kerna risau saat itu adalah saat terakhir adik boleh tengok ayah. Adik salam tangan ayah adik cakap nanti adik datang lagi tengok ayah sementara ni abang akan tengokkan ayah.

[3 minggu sebelum: 15/8-21/8]

Hari Selasa, abang wassap dan beritahu ayah dah sedar. Hati riang syukur sebab akhirnya ayah dan stabil dan semakin sedar. Ayah bangun abang disisi, dan ayah tanya abang, adik kat mana. Hari tu jugak adik cuba minta balik awal setengah hari tapi tak boleh sebab-sebab tertentu. Hari Jumaat adik minta half-day dan terus ke Seremban untuk lawat ayah. Kebetulan hari Jumaat keputusan peperiksaan akhir keluar. Alhamdulillah rezki untuk dapat dekan di akhir semester. Sepanjang perjalanan balik, tak sabar nak cheer up hari ayah dengan keputusan hari tu.

Masuk-masuk dalam wad adik Nampak ayah dah sedar, adik datang kat ayah. Ayah senyum. Tapi empangan mata tak boleh tahan. Adik peluk ayah dan cakap, dah seminggu adik tunggu ayah bangun tapi ayah tak bangun-bangun.Ayah pegang kepala adik dan ayah cakap, takde apa. Terus keputusan periksa adik tunjuk kat ayah. Sekali lagi ayah senyum dan muka ayah gembir sangat. Hati waktu ni rasa sangat tenang. Hati sangat yakin ayah akan ok semula seperti biasa.

Esoknya lepas subuh kami masuk tengok tiub pernafasan dah takda. Rupa-rupanya ayah yang cabut keluar daripada mulut sendiri. Adoii rasa macam kenapalah ayah degil sangat, lawak pun ada tapi alhamdulillah ayah survived tanpa tiub. Tiub takda, ayah pun dah boleh bercakap. Maka bermulalah sesi ayah bercakap tanpa henti. Air pun ayah dah boleh minum dalam kuantiti yang sikit. Ramai yang lawat ayah semua ayah buat lawak. Senyum.

Dari HDW tingkat 6 ayah dipindahkan ke wad CCU tingkat 4. Macam biasa, sebelum balik ada banyak borak dengan ayah. Ayah kata hati-hati balik naik motor. Adik salam tangan ayah dan bisikkan ke telinga ayah yang adik minta ampun dan maaf kat ayah selama adik hidup kat dunia ni. Air mata adik bergenang lagi sekali sebak tengok wajah ayah. Ayah balas dengan angguk dan dan senyum je. Adik keluar terus balik ke Rawang. Kali ni abang pun balik ke kL, atas faktor cuti semakin habis dan standby untuk cuti semula sekiranya ayah masuk ke wad biasa.

[2 minggu sebelum: 22/8-28/8]

Abang dari kL berulang alik setiap hari selepas waktu kerja untuk lawat ayah. Saat ni hari isnin ayah ada sedikit meracau, kemungkinan disebabkan ubat ataupun faktor sekeliling yang banyak mempengaruhi. Ayah seakan-akan sedar dan tak. Hari Rabu ayah dipindahkan ke wad biasa 7A, abang yang fully tengokkan ayah. Abang bagitahu, ayah meracau semakin teruk. Kadang-kadang ayah menjerit dan tak senang duduk. Kemungkinan ayah sakit disebabkan ubat ataupun sesuatau yang susah untuk diterangkan. Disebabkan di wad biasa, pesakit harus diuruskan oleh anggota keluarga sendiri dan dijaga sepenuhnya, adik ambil keputusa untuk berhenti kerja. Tak mahu menyusahkan pihak syarikat untuk ambil cuti yang panjang. Adik balik ke Seremban dan terus ke hospital.

Jam 10.00 malam adik sampai ke hospital. Terus ke katil ayah, adik Nampak ayah sakit sangat. Ayah meracau dengan sangat teruk. Ayah hampir tak kenal adik.  Malam tu adik terus jaga ayah beri laluan pada abang untuk berehat dulu. Satu malam tu memang ayah tak tidur, adik pun tak tidur. Ayah banyak sangat bercakap, kadang-kadang ilusi ayah memang kami tak boleh nampak. Ayah mintak barang yang memang tiada kat sisi, dan memang kami tak nampak. Ada saat memang kadang-kadang adik termarah ayah, untuk sedarkan ayah pada realiti. Tangan dan kaki ayah nurse ikat untuk mengelakkan sebarang tiub ayah cabut. Beberapa hari memang adik tak dapat tidur sebab ayah memang tak tidur malam. Kadang-kadang layan ayah cakap malam-malam. Kadang-kadang tepuk ayah untuk kembalikan ayah pada realiti. Kesian sangat tengok ayah tak dapat tidur. 

[1 minggu sebelum: 29/8- 4/9]

Hari Isnin pagi ayah lepas sarapan, ayah tanya adik “ penat ke jaga ayah?” adik balas, takdalah. Tak penat pun. Ayah minta supaya adik sayang ayah kat pipi. Dua kali ayah mintak “ Sayang ayah”. Adik balas ya. Adik sentiasa sayang ayah. Ayah minta maaf kat adik sedangkan ayah takda salah. Hakikat sebenarnya waktu ni ayah tak berapa sedar dan ingat. Fikiran ayah masih tak pulih sepenuhnya. Kemungkinan sebab lama ditidurkan dan faktor ubat yang disuntik.

Seperti biasa, kadang-kadang ayah akan sedar dan ok kadang-kadang ayah akan meracau dan ayah takkan tidur baik siang ataupun malam. Banyak kali jugak adik bertelagah dengan ayah. Ayah tak boleh turun katil dan makan makanan dilarang Dr. Pertama kali sambut malam merdeka di hospital. Waktu jaga ayah memang setiap kali ayah buang najis adik akan tukar pampers ayah. Tak sampai hati tengok pampers ayah kotor. Ayah nak minum adik sentiasa bagi.

Hari merdeka 31 Ogos, Acu bawakan air Yassin. Lepas asar ayah minum air Yassin, kepala dan badan ayah kami lapkan dengan air Yassin. Ayah akhirnya terlena sekejap walaupun 20 minit. Keadaan ayah semakin tenang. Malam-malam ayah tak meracau. Alhamdulillah berkat air Yassin dan kalimah Allah. Urusan menjaga ayah semakin senang dek kerana ayah semakin tenang dan kurangnya meracau. Ustaz daripada darul syifa dan kenalan-kenalan ayah ramai hadir untuk membantu ayah. Ayah semakin baik walaupun fikiran ayah belum sepenuhnya pulih. 

2 Sept, hari Jumaat pagi seperti biasa hanya selepas subuh adik boleh lelapkan mata kerana siangnya ayah akan berehat dan Dr akan round ward untuk pemeriksaan pesakit. Jam 7.00 pagi mata terlelap, lebih kurang jam 7.45 tersedar sekejap dan perasan handphone dah tiada dalam poket. Hilang dicuri. Waktu ni sangat tenang kerana ada pengalaman handphone dicuri sebelum ni. Terus adik naik ke wad, mandi dan bersiap. Saja mengadu pada ayah memang ayah sahaja adik ada tempat untuk mengadu. “ handphone kena curi tadi” ayah balas “ takda rezeki la tu”. Sekali lagi terus tangan dihulur dan adik cakap ‘adik minta maaf dengan ayah’ dalam hati dapat rasa kemungkinan handphone hilang sebab marah ayah banyak sangat. Kemungkinan balasan dari Allah. Ayah jawab “ Takda apa, lain kali kalau ayah kata jangan, jangan buat” Hurmm ayah macam sedar, macam tak. Sekali lagi jadi pelik, ayah atau bukan ayah?

Selesai solat jumaat haritu, terus jumpa ayah. Keadaan ayah agak tenang dan banyak bercakap. Lepas asar buat kali pertamanya ayah tidur dengan sangat lama, hampir ke waktu maghrib kalau tak silap. Maktam dan ayong hadir pun sampai ayah tak perasan dek terlelap setelah hampir berminggu ayah tak tidur langsung. Alhamdulillah hati senang tengok ayah tidur. Rasa lega. Kami berdua turun makan, lepas maghrib menghampiri isyak, kami naik ke wad dan kami lihat ayah dah dalam keadaan duduk atas katil pesakit. Ayah mula bertanya “ ke mana tadi?” kami hanya jawab “turun sekejap”. Adik mula tanya, “ayah dah sedar ke ni? Ayah ingat dah ke?” Ayah jawab “ayah dah lama sedar dan dah lama ingat”. Sedangkan kami tahu ayah sebenarnya baru sedar. Saja nak menguji tahap kesedaran ayah, adik pegang katil sebelah dan cuba tanya ayah “ apa ni yang adik tengah pegang ni yah?”. Ayah jawab “ plastic lah. Takkanlah ayah tak tahu.” Ternyata betul! Sebelum ni katil-katil sebelah ayah hanya nampak sebagai kereta. Keadaan sekeliling ayah hanya rasa seperti di kebun. Bila ayah jawab plastik memang sah ayah dah sedar sebab kebetulan memang tilam tu masih berplastik. Aduh, rasa syukur sangat. Rasa ayah memang dah kembali! Malam tu adik bancuhkan susu ayah, bagi ayah minum dan abang temankan ayah malam tu sebab adik dah penat tak tidur seharian.

Esoknya sabtu memang adik ke kL untuk uruskan urusan handphone dicuri, block nombor yang hilang dan buat simkad baru di centre mobile. Balik ke hospital waktu Asar, ramai sangat yang ziarah ayah. Ayah seperti biasa banyak borak walaupun pagi tu ayah ada krisis dengan abang sebab kedegilan ayah nak turun ke tandas dan mandi. Sesampai je adik kat hospital ayah sekali lagi mintak nak ke tandas sebab nak mandi dan buang air. Kali ni adik ikutkan cakap ayah, dengan kerusi roda ayah perlahan-lahan turun katil, cuba berdiri selepas sebulan terlantar atas katil. Adik bawa ayah ke bilik air dan mandikan ayah. Itulah kali pertama adik mandikan ayah. Terdetik dalam hati waktu tu, ‘andai ini mandian terakhir, Allah berilah peluang untuk aku berbakti’ waktu tengah mandi tu lagi banyak ayah bercerita. Ayah cakap “Ayah ni dah macam tentera Jepun dah sebulan tak mandi, ada ke patut diorang lap lap je badan ayah ni atas katil”. Adik tergelak je dengar ayah cakap macam tu. Adoi la hai lawak la dengar macam tu. Ada sekali dua ayah mengomel pasal abang dan leha.

Malam tu sekali lagi ayah mintak nak mandi. Abang dah ke rumah acu sebab kepenatan. Adik bawa ayah ke bilik air mandikan ayah sekali lagi. Ni kali kedua adik bantu mandikan ayah. Rasa sayu pulak tiba-tiba dalam bilik air tu. Selesai sahaja mandi, adik bancuhkan susu ayah bagi ayah minum susu. Puas pujuk ayah pakai pampers sebelum tidur supaya senang malam tak payah pegi tandas, akhirnya ayah akur. Sebelum tidur memang banyak benda adik cakap dengan ayah. Hafal jawapan kalau Dr tanya, siapa datang lawat ayah, apa ayah mimpi waktu tak sedarkan diri seminggu. Macam-macam. Malam tu memang ayah senyap dan adik pun dapat tidur. Tepat jam 4.00 pagi, sekali lagi ayah bangun mintak nak ke tandas. Adik bawakan ayah ke tandas. Lepastu sambung tidur semula. Lepas subuh ayah kata ayah nak balik rumah. Maka bermulalah sekali lagi sesi bertelagah adik dan ayah. Memang adik diam bila adik dah puas nasihat ayah tak nak dengar. Jam 8.00 pagi lepas adik mandi ayah tanya “ kenapa adik?masam je muka dari tadi”. Adik balas “ Ayah duduk la hospital sekejap je lagi, Dr nak habiskan antibiotic ayah, Dr takda nak cucuk-cucuk ayah lagi dah sebab tinggal nak habiskan antibiotic je. Nanti dah habis kita balik ok?” Akhirnya sekali lagi ayah akur dan dengar cakap, terus muka ada senyum semula.

Hari Ahad pagi, tiub makanan ayah dan dibuka. Maksudnya ayah dah boleh makan. Makan pagi air minum kopi dengan bubur. Tapi ayah tak makan bubur sebab tak sedap, akhirnya adik jugak jadi tukang penghabis makanan ayah. Dalam 10 pagi adik ke rumah paktam untuk amik makanan ayah ikan tongkol kari. Adik bawa ke ayah untuk makan tengahari tapi ayah tak makan jugak sebab pedas dan ayah tak ada selera makan. Ayah nak air the panas pun adik belikan tengahari tu jugak. Akhirnya ikan tongkol tu adik yang habiskan. Hari ni ayah dah boleh brjalan sendiri ke tandas. Kaki ayah dah kuat. Semua nurse dengan pesakit-pesakit sebelah pelik teruja tengok ayah boleh berjalan seperti biasa. Petang lepas abang ddan acu sampai ayah mintak nak ke kafe nak makan roti canai. Kami bawa ayah pergi ke kafe ayah tak makan sangat pun dan yang paling advanced ayah merokok sebatang tapi tak habis pun. Kemungkinan tekak ayah masih pahit lagi. Petang adik balik mantin sekejap dan terus patah balik hospital bawa motor naik jumpa ayah. Malam tu sekali lagi ayah tido lena. Kadang-kadang ayah berpantun, kadang-kadang menyanyi. Semua orang yang ziarah ayah semua akan tergelak tengok gelagat ayah.

[2 hari sebelum: Isnin]

Pagi Isnin ni sekali lagi ayah tanya bila boleh balik? Adik jawab inshaAllah hari rabu ayah dah boleh balik sebab antibiotic dah habis. Masa ni katil sebelah ada seorang makcik jaga husband dia. Makcik ni peramah, baik hati senang berborak dengan ayah. Ayah ada borak-borak dengan adik ayah tanya, berapa lama adik cuti, dan sampai satu saat tu ayah cakap “ Makcik sebelah ni nak kenengkan adik dengan anak dia”. Adoi la hai, terus cakap “ayah jangan mengarut lah”. Lepas ayah tidur, makcik sebelah bercerita, “ tadi makcik tanya ayah, Fitree dah ada makwe ke? Ayah Fitree jawab Fitree tengah dalam proses nak ada makwe. Makcik anak beranak semua ketawa dengar jawapan ayah Fitree”. Patutlah ayah cakap makcik sebelah nak kenenkan adik dengan anak dia, dah berborak dahulu rupanya.

Waktu ward round oleh Dr pakar, ayah minta turun katil sebab nak ke mesin ATM, terkejut Dr dengan nurse yang ada tengok ayah dah boleh jalan mintak nak turun wad. Dr tak benarkan atas faktor keselamatan. Lepas Dr pakar datang cek, Dr benarkan ayah keluar wad hari Isnin tu jugak jam 6.00 petang. Gembira kemain ayah sebab memang hajat dah lama nak balik. Disebabkan ayah dah sihat adik amek peluang nak berehat. Daripada jam 11.00 pagi sampai jam 6.00 petang hapir berpuluh-puluh kali ayah tanya adik dah pukul 6.00 ke belum. Memang kena tahan sabar tahan kerenah ayah. Ayah memang tak sabar-sabar sangat nak balik seolah-olah ayah nak kejar sesuatu kat rumah. Sebelum balik ayah begitahu kat makcik katil sebelah “ Balik ni saya nak balas dendam tidur puas-puas lepas sebulan tak tidur”.

Petang waktu maghrib, kita sampai rumah dengan acu. Sampai masuk je ke dalam rumah ayah terus demam panas. Ayah mula tka ingat siapa kat sekeliling ayah. Kami semua dah mula risau tak tahu nak buat apa. Ayah terlalu lemah dan mula merapu meracau sikit. Adik keluar rumah belikan ayah sup sayur sebab ayah nak makan terlalu lapar. Adik berdoa supaya ayah cepat-cepar sihat semula. Lepas isya ayah semakin sedar. Demam mulai hilang. Alhamdulillah. Adik suapkan ayah makan dengan teo ais ayah order malam tu. Ayah tak makan banyak. Kat rumah adik sangat-sangat peka dengan ayah. Pimpin ayah setiap kali nak ke tandas dan masuk semula bilik. Malam tu ayah tidur lena.

[1 hari sebelum]

Selasa subuh ayah kejutkan adik dari tidur, usai solat subuh ayah ajak makan nasi lemak kat gerai kegemaran ayah. Pagi tu kita borak-borak lagi, ayah cakap pasal rumah ni. Ayah cakap ayah minat nak beli rumah kat area rumah abang. Ayah sebut lagi pasal makcik kat hospital tu nak kenenkan anak dia dengan adik. Adik cuma cakap “lambat lagi nak kahwin lah” haha. Tanpa diduga tiba-tiba seseorang balik. Adik mohon maaf sangat sebab tak dapat tahan emosi bila orang tu balik. Difitnah kami depan ayah. Ayah dan dia berbaik walaupun adik pelik sangat-sangat, tapi dek kerana terasa memang adik banyak diam haritu daripada berkata-kata. Ayah keluar dengan dia sarapan pagi. Tinggal adik kat rumah. Adik ambik keputusan terus ke rumah paktam, sekaligus nak amek insulin ayah yang tertinggal. Bagi adik dia memang jadi penghalang kepada kita.

Petang adik sampai rumah, sekali lagi ayah takda. Macam biasa lebih suka habiskan masa dalam bilik berbanding tengok muka dia. Nak muntah meluat. Tapi ayah pilih dia. Jauh di sudut hati memang adik terasa. Hari ni ayah mintak adik ajarkan ayah cara guna handphone baru. Adik tahu ayah memang nak ambil hati adik. Puasla ajar ayah guna touchscreen android, lepas selesai ajar ayah senyum sampai telinga ayah cium handphone gelak kecil. 

Lepastu ayah ada cakap berkenaan daging landak atau rusa yang ayah nak tempah untuk kenduri raya haji nanti. 6 kg ayah tempah daging landak. Malam tu dalam bilik sambal tengah tengok movie, ayah masuk. Sekali lagi ayah tanya kenapa handphone berbunyi, adik ajar ayah sekali lagi. Ayah cium handphone senyum gelak angguk-angguk. Senang hati adik tengok. Jujurnya, mulut adik memang nak cakap sesuatu dengan ayah, banyak benda nak tanya tapi sebutir perkataan pun tak keluar daripada mulut. Hati adik terasa nak selfie dengan ayah tapi tak terbuat. Memang Allah tak izinkan malam tu. Seolah-olah rasa berat sangat.

Ayah pesan jugak “ adik nanti pergi sambung kerja, ayah dah sihat, ayah dah kuat. Adik kena kerja nanti apa pulak orang cakap”.  Ayah ada kata esoknya rabu ayah nak ke kL nak jumpa abang untuk ambil IC, tapi adik kata takpa, biar adik yang ke kL dan ambik IC ayah. Kebetulan abang terbawa balik kad pengenalan ayah masa kat hospital lagi.

[Rabu: 7/9]

Pagi subuh macam biasa ayah kejutkan, ayah tanya bila nak ke kL. Adik jawab petang sebab abang boleh keluar lepas jam 5.00 petang. Ayah ok kan je ayah cakap ayah nak ke bank perlukan kad pengenalan. Ayat ayah “ cepat, orang dah nak raya ni, ayah nak bayar duit daging landak” sedangkan tahun-tahun sebelumnya ayah tak pernah nak daging landak. Sarapan pagi macam biasa, ayah keluar. 

Sebelum ayah keluar adik sempat tanya ayah, tangan ayah dah makin kuat tak? 

Ayah jawab “dah nak kuat dah, kurang makan memang lemah la dia”.

Disebabkan dia ada kat depan ruang tamu masa adik nak keluar memang perasaan meluat semakin bertambah-tambah. Adik keluar dengan perasaan tak senang. Ayah tanya nak kemana adik hanya jawab “KL”.  Adik terus keluar rumah dan adik dengar ayah cakap daripada dalam ruang tamu “ Hati-hati” dan adik menjawab “ha” dalam suara yang rendah. Maka, terus berlalu lah adik ke Kuala Lumpur. Jumpa abang dan kami sempat makan di Nu Sentral sambal berbual-bual perihal yang telah terjadi baru-baru ni. Tepat jam 6.30 pm adik terus naik tren dan menuju ke batang benar.

Sampai di batang benar jam 7.30, nak solat Maghrib di stesen ktm ataupun di masjid batang benar, tengah berkira-kira lagi, seperti ada rasa yang tak kena. Rasa macam nak cepat sampai rumah. Tiba di depan masjid batang benar, motor terus meneruskan perjalanan. “Solat kat masjid Mantin je la, senang terus balik”. Selesai solat di Masjid mantin adik terus balik dan sampai ke rumah. Adik bukak pintu pagar cermin. Adik nampak ayah sedang baring. Baring ayah terdiam dan mata ayah memandang tepat ke atas sebelah kanan. Adik terus ke ayah, “ ayah adik dah sampai dah ni”. Ayah diam. Hati terus rasa tak senang, adik kejut kan ayah banyak kali, banyak-banyak kali. Seakan-akan rasa, ayah meracau semula ke?

Letak kad pengenalan ayah atas meja, adik ke katil ayah. Mata ayah bertukar ke atas sebelah kiri. Adik pegang bahu ayah, goncang badan ayah “ ayah bangun,bangun!” Ayah Cuma jawab “Ha”. Adik pegang tangan ayah sejuk. Hati melintas “aku akan kehilangan dia” adik terus ajar ayah mengucap. Tak sampai beberapa saat, ayah Tarik nafas panjang dan terakhir. Adik cuba tekan dada ayah. Ayah kembali bernafas, cuba lagi, dan terus cuba, dengan 3 kali nafas ayah terus pergi. Kaki seolah-olah rasa tak berpijak. Lemah. Ayah pergi dalam dakapan adik. Dalam pelukan adik. Adik bisikkan ke telinga ayah “Adik saying ayah sampai syurga, adik minta maaf salah silap, adik cari ayah kat syurga nanti. Adik janji”. Sama ada ayah dengar atau tidak. Tiada siapa tahu, tapi adik nampak ayah keluarkan air mata. Acu datang, jiran datang, saat tu air mata tak boleh menahan.Ayah pergi selepas sebulan allah pinjamkan. Perkataan “hati-hati” ayah perkataan terakhir keluar daripada mulut ayah. Tengahari tu, salam terakhir adik salam dan cium tangan ayah. Ayah kaku. Pergi.

***
Keesokkan hari semuanya selesai. Tapi hati ini masih tak selesai. Seakan-akan masih mempersoalkan kebenaran dan ilusi. Siapa aku untuk mempersoalkan takdir tuhan. Aku terima hakikat doa manusia tepenting di muka bumi ini lesap hilang. Aku dan abang terus bergantung kepada tuhan. Terima kasih Allah atas pinjaman sementara ini. Terima kasih Allah engkau berikan aku peluang untuk menemani dan menjaga ayah aku sehingga ke nafasnya yang terakhir walaupun seketika. Terima kasih Allah atas nikmat mandikan, suapkan, jagakan ayah yang engkau berikan. Kedua-dua orang tuaku sempat aku jaga sebelum kedua-dua mereka pergi di depan mata aku.  Kini kedua-duanya tiada.

Adik tahu ayah sayangkan adik sehingga suatu saat ayah perlu memilih. Sehinggakan di saat akhir hidup ayah adik nampak mata ayah rasa bersalah. Terima kasih ayah kerana menunggu adik pulang daripada kL untuk terus tinggalkan adik selama-lamanya. Tiada siapa tahu berapa lama ayah bertahan di atas katil menanti adik pulang. Terima kasih ayah pergi dalam dakapan adik. Selamanya ayah dalam ingatan. Tawa ayah, marah ayah, bebel ayah, masakan ayah. Semuanya kekal selamanya. Demi Allah hanya DIA yang tahu betapa tingginya kasih sayangku.

"Aku melakar kenangan dalam tulisan agar sentiasa kekal dalam ingatan. Sehingga akhir hayat"

Abd Ghani Bin Abd Manan
1959-2016
Al fatihah.


Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment