Selahirnya aku di muka bumi, ditakdirkan arwah ibuku sakit kerana komplikasi melahirkan. Maka ayahlah yang menjaga di saat aku bayi, sehingga aku menginjak 23 tahun. Jasanya takkan aku lupa. Dialah ayahanda dan dialah bonda.

Ketahuilah ayah, tiada berita yang tidak sedap didengar selepas pemergianmu. Semua yang menyebut nama Abd Ghani, terus mengingatkan bagaimana sanggupnya si ayah menjaga isteri yang lumpuh  dan dua anak kecil sehingga anak-anaknya besar dan bekerjaya. Dijaga si isteri, tanpa bantuan sesiapa sehingga akhir hayat isterinyanya. Semua masih mengimbau bagaimana ayah mampu melakukannya. 

“ You should live like your father. Follow how strong he is. He really love you even the moment the soul needs to leave the body he was there waiting for you to come home. The soul left in front of you. He wanted you to see it happened”- Uncle Siva.

Allah. Ayah dah pergi. Terima hakikat semua sudah berakhir. Saat yang paling ditakuti terjadi akhirnya berlaku. Terima kasih ayah untuk persiapan yang ayah buat untuk kami. Ilmu masakan, ilmu bertukang, kemas rumah, ayah hantar mengaji, paksa masuk kelas aliran arab. Semua ayah buat untuk persiapan anak-anak. Ayah kerja berat, balik ayah untuk kemaskan arwah mama dan masak untuk makan. Sakit kami, ayah ubatkan , sampaikan adik di university kaki sakit tak boleh jalan, ayah hadir dan urutkan kaki adik di kolej.



Lepas ni tiada siapa. Lepas ni sendiri.

At this moment, I realized allah. I have to stand on my own.

Selama ni ayah sumber kekuatan kami, ayahlah sumber kenapa kami terus berjalan. Ayah sumber inspirasi. Tiada kemewahan ayah taburkan tapi kasih sayang ayah mekar selamanya. Walaupun masa muda garangnya seperti harimau, menginjak remaja marah ayah hilang. Tegurnya sentap, guraunya kerap.

Acap kali ayah katakan, tanggungjawab ayah dah selesai. Anak-anak ayah dah habis belajar dan boleh berdikari sendiri. Ayah pergi tatakala ayah yakin anak-anak ayah akan boleh hidup sendiri lepas ni. Ayah memang tunggu aku habis belajar. Sempat sekali sahaja aku bawa ayah makan dengan hasil pendapatan sendiri. Patutlah masa makan bersama dengan ayah, gembiranya lain, seleranya laju, senyumannya panjang walhal ayah sangat susah bergambar.

Terima kasih ayah sebab sudi makan dengan hasil pendapatan adik yang pertama walaupun hanya sekali. Walaupun ayah dah berjanji untuk hadir konvo tapi perancangan Allah itu rapi.

Kita tahu ini realiti, tapi sakitnya hanya Allah tahu. Ayah selalu cakap “ni anak bapak yang menghabiskan duit bapak’ semua yang mendengar mesti akan ketawa. Ayahlah tangan yang menjaga sejak bayi. Sehinggakan pergi kerja pun ayah akan bawa sekali. Sehingga suatu saat ayah perlu memilih, ayah akan lebihkan anak-anak ayah kerna ayah tahu siapa betul siapa salah.

Kadang-kadang perasaan sayang ini sakit. Sakit untuk menghadapi kehilangan. Kerana sayang ini lahir dari hati tanpa direka tanpa dipaksa.

Hampir setiap malam mimpi ayah. Hampir setiap saat ingat ayah. Doa untuk ayah takkan pernah padam. Persiapan ayah, tunjuk ajar ayah bekalan buat kami. Doakan anak-anakmu agar mampu bangun semula, kerana kami sedar selepas ini kami sendiri.

Berdikari.

Ahirnya dia pergi. Terima realiti. Semoga kita berempat kembali bertamu di syurga.

Terima kasih atas pinjaman ini selama 23 tahun.


Next PostNewer Posts Previous PostOlder Posts Home