Selahirnya aku di muka bumi,
ditakdirkan arwah ibuku sakit kerana komplikasi melahirkan. Maka ayahlah yang
menjaga di saat aku bayi, sehingga aku menginjak 23 tahun. Jasanya takkan aku
lupa. Dialah ayahanda dan dialah bonda.
Ketahuilah ayah, tiada berita
yang tidak sedap didengar selepas pemergianmu. Semua yang menyebut nama Abd
Ghani, terus mengingatkan bagaimana sanggupnya si ayah menjaga isteri yang
lumpuh dan dua anak kecil sehingga
anak-anaknya besar dan bekerjaya. Dijaga si isteri, tanpa bantuan sesiapa
sehingga akhir hayat isterinyanya. Semua masih mengimbau bagaimana ayah mampu
melakukannya.
“ You should live like your
father. Follow how strong he is. He really love you even the moment the soul
needs to leave the body he was there waiting for you to come home. The soul
left in front of you. He wanted you to see it happened”- Uncle Siva.
Allah. Ayah dah pergi. Terima hakikat semua
sudah berakhir. Saat yang paling ditakuti terjadi akhirnya berlaku. Terima
kasih ayah untuk persiapan yang ayah buat untuk kami. Ilmu masakan, ilmu
bertukang, kemas rumah, ayah hantar mengaji, paksa masuk kelas aliran arab.
Semua ayah buat untuk persiapan anak-anak. Ayah kerja berat, balik ayah untuk
kemaskan arwah mama dan masak untuk makan. Sakit kami, ayah ubatkan , sampaikan
adik di university kaki sakit tak boleh jalan, ayah hadir dan urutkan kaki adik
di kolej.
Lepas ni tiada siapa. Lepas ni
sendiri.
At this moment, I realized allah.
I have to stand on my own.
Selama ni ayah sumber kekuatan
kami, ayahlah sumber kenapa kami terus berjalan. Ayah sumber inspirasi. Tiada
kemewahan ayah taburkan tapi kasih sayang ayah mekar selamanya. Walaupun masa
muda garangnya seperti harimau, menginjak remaja marah ayah hilang. Tegurnya
sentap, guraunya kerap.
Acap kali ayah katakan,
tanggungjawab ayah dah selesai. Anak-anak ayah dah habis belajar dan boleh
berdikari sendiri. Ayah pergi tatakala ayah yakin anak-anak ayah akan boleh
hidup sendiri lepas ni. Ayah memang tunggu aku habis belajar. Sempat sekali
sahaja aku bawa ayah makan dengan hasil pendapatan sendiri. Patutlah masa makan
bersama dengan ayah, gembiranya lain, seleranya laju, senyumannya panjang
walhal ayah sangat susah bergambar.
Terima kasih ayah sebab sudi
makan dengan hasil pendapatan adik yang pertama walaupun hanya sekali. Walaupun
ayah dah berjanji untuk hadir konvo tapi perancangan Allah itu rapi.
Kita tahu ini realiti, tapi
sakitnya hanya Allah tahu. Ayah selalu cakap “ni anak bapak yang menghabiskan
duit bapak’ semua yang mendengar mesti akan ketawa. Ayahlah tangan yang menjaga
sejak bayi. Sehinggakan pergi kerja pun ayah akan bawa sekali. Sehingga suatu
saat ayah perlu memilih, ayah akan lebihkan anak-anak ayah kerna ayah tahu
siapa betul siapa salah.
Kadang-kadang perasaan sayang ini
sakit. Sakit untuk menghadapi kehilangan. Kerana sayang ini lahir dari hati
tanpa direka tanpa dipaksa.
Hampir setiap malam mimpi ayah.
Hampir setiap saat ingat ayah. Doa untuk ayah takkan pernah padam. Persiapan
ayah, tunjuk ajar ayah bekalan buat kami. Doakan anak-anakmu agar mampu bangun
semula, kerana kami sedar selepas ini kami sendiri.
Berdikari.
Ahirnya dia pergi. Terima
realiti. Semoga kita berempat kembali bertamu di syurga.
Terima kasih atas pinjaman ini
selama 23 tahun.